BANGUNAN IBU PEJABAT USIA, JALAN SEMBULAN, PETI SURAT 10316, 88803 KOTA KINABALU, SABAH. TEL: 088-240151, 088-250766, FAX: 088-217060

CAWANGAN-CAWANGAN USIA SELURUH NEGERI SABAH USIA BAHAGIAN KOTA KINABALU USIA BAHAGIAN TUARAN USIA BAHAGIAN PENAMPANG USIA BAHAGIAN TENOM USIA BAHAGIAN KUDAT USIA BAHAGIAN PAPAR USIA BAHAGIAN RANAU USIA BAHAGIAN TAWAU USIA BAHAGIAN KENINGAU USIA BAHAGIAN KOTA MARUDU USIA BAHAGIAN LAHAD DATU USIA BAHAGIAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN USIA BAHAGIAN KOTA BELUD USIA BAHAGIAN LABUK/BELURAN USIA BAHAGIAN BEAUFORT USIA BAHAGIAN KUNAK USIA BAHAGIAN KUALA PENYU USIA BAHAGIAN PENSIANGAN USIA BAHAGIAN TAMBUNAN USIA BAHAGIAN SEMPORNA USIA BAHAGIAN SIPITANG USIA BAHAGIAN SANDAKAN USIA BAHAGIAN KINABATANGAN

Muqaddimah

Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah ditubuhkan pada 14 Oktober 1969, berikutan keputusan Kongres Masyarakat Islam dua bulan sebelum itu. Pertubuhan ini wujud hasil gabungan tiga persatuan Islam yang besar di negeri ini iaitu Persatuan Islam Putatan, Persatuan Islam Sabah dan Persatuan Islam Tawau.

Sejak itu, USIA terus memainkan peranan yang amat bermakna dalam gerakan Dakwah di Negeri Sabah. Antara kejayaan besar USIA termasuklah penubuhan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 26 April 1972 dan pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi Negeri Sabah pada 23 September 1973. Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di negeri ini, pengalaman USIA dalam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan demi menegakkan kalimah Allah telah membolehkan pertubuhan ini terus relevan di pentas dakwah tanah air.

Kejayaan mengIslamkan seramai 71,471 orang dalam tempoh 6 tahun pertama penubuhannya juga membuktikan USIA sebagai pertubuhan Islam yang terunggul di negeri ini.

 

Strategi

Menganjurkan program-program berterusan dalam pelbagai bidang agama khususnya dakwah, pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan sumber manusia dan ekonomi.

 

Kumpulan Sasar

Kumpulan sasar bagi program-program yang dijalankan oleh USIA adalah seperti berikut:-

    1. Golongan Saudara Kita

    2. Golongan Remaja dan Belia

    3. Golongan Pelajar IPTA dan IPTS

    4. Golongan Profesional

    5. Golongan Bukan Islam

     

Kaedah Pelaksanaan

  • Dakwah

Usaha untuk mengembalikan kecemerlangan USIA terutama dalam gerak kerja dakwah mesti diteruskan dalam bentuk yang lebih sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa. Sehubungan itu, Jawatankuasa Dakwah USIA Pusat telah mencapai kata sepakat dan mencadangkan pembentukan Blue Print USIA yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah pada 26 November 2006. Matlamat utamanya adalah untuk memperkasa dakwah dan sebagai garis panduan dalam melaksana dan menghadapi cabaran-cabaran dakwah semasa. Fokus perancangan program dakwah bagi tahun 2011 adalah kepada Pusat Bimbingan Saudara Kita (Baitunnur), aktiviti-aktiviti Belia dan Wanita serta program-program umum yang meliputi Dakwah Bil Hal dan Bil Lisan yang diadakan di kesemua 25 Bahagian USIA.

  • Pendidikan

Pendidikan menjadi agenda utama gerakan pemerkasaan dakwah USIA memandangkan betapa pentingnya usaha dakwah melahirkan insan terdidik dengan nilai kebenaran Islam serta memiliki pengetahuan yang lurus dan ampuh.


Teknologi Maklumat dan Informasi (ICT)

Sejajar dengan perkembangan dan kemajuan teknologi, maka USIA telah melangkah setapak lagi dalam era Teknologi Maklumat dan Informasi (ICT). Di antara program yang akan terus dilaksanakan bagi tahun 2011 ialah kursus pengukuhan laman web USIA kepada webmaster yang dilantik bagi setiap zon yang meliputi 25 Bahagian USIA seluruh Negeri Sabah.

 

Pembangunan Sumber Manusia

Pelbagai program Pengurusan Organisasi akan terus diadakan pada tahun 2011. Tujuan utama program adalah bagi memberi pendedahan dan melatih pegawai dan kakitangan USIA di peringkat Pusat dan Ahli-ahli Jawatankuasa di peringkat Bahagian dan Cawangan, ke arah memantapkan lagi Pengurusan Organisasi USIA. Kaedah pelaksanaannya adalah melalui seminar, kursus dan bengkel yang akan diadakan secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun 2011.

 

Ekonomi

Kekuatan ekonomi adalah amat penting untuk membangunkan dakwah sedangkan mengupayakan dakwah adalah suatu kewajipan esensial kepada setiap muslim. Berdasarkan mantiq tersebut maka menjana kekuatan ekonomi untuk membangunkan Islam dan umatnya adalah fardhu yang mesti diusahakan. Sehubungan itu, USIA berusaha sedaya mungkin membekalkan ahli-ahlinya dengan ilmu untuk penjanaan sumber ekonomi USIA yang boleh dicerakinkan kepada Ekonomi Fardhu Kifayah, Ekonomi Komersial dan Ekonomi Strategi.

 

Justifikasi

Dalam usaha pembahagian tugas dan tanggungjawab serta mengelakkan pertindihan fungsi dalam melaksanakan program-program yang dirancang, sebuah unit telah dibentuk iaitu Unit Pemantau Program Dakwah USIA (UPPU) di peringkat Pengurusan USIA Pusat. Unit ini terdiri daripada Bahagian Pentadbiran dan Operasi Dakwah serta Bahagian Belia dan Wanita.

Di samping itu, 15 buah Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil telah dibentuk bagi memastikan pelaksanaan program dapat direalisasikan dengan lebih teratur. Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kecil tersebut akan memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran aktiviti-aktiviti yang dirancang. Bagaimanapun, program yang dirancang akan dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan USIA. Oleh yang demikian, USIA amat berharap dan berterima kasih sekiranya permohonan peruntukan Grant Tahunan kepada USIA dapat diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya agar program yang telah dirancang bagi tahun 2011, insya Allah dapat direalisasikan demi kepentingan dan kecemerlangan ummah di negeri Sabah.

 

Penutup

Bagi melaksanajayakan program-program yang dirancang, USIA amat memerlukan komitmen yang menyeluruh terutama daripada Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ahli-ahli USIA dan umat Islam sendiri, baik di peringkat Pusat, Bahagian dan Cawangan. Tanpa penglibatan mereka, perancangan gerakan Dakwah tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Begitu juga dengan kerjasama erat dan bersepadu dengan Agensi/Organisasi Islam seperti MUIS, JHEAINS, JAKIM, RISEAP, YADIM, ABIM, PERKIM dan lain-lain, melalui perkongsian bijak (smart partnership) dalam penganjuran program yang dirancang. Sokongan moral dan material juga amat diperlukan terutama bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Pusat. Akhir kata, sama-sama lah kita berdoa semoga segala usaha murni kita akan diberkati Allah S.W.T. hendaknya, insya Allah.